Graphics Girly Graphics

Isu Haid bermasalah


Pusingan haid

yang teratur sangat penting bagi setiap wanita. Kedatangannya adalah satu lambang kewanitaan dan kesuburan. Apabila pusingannya terganggu, beberapa masalah mungkin timbul dan menggangu ciri kewanitaan.
Gangguan ini boleh menjadi insiden yang menggembirakan khususnya bagi wanita yang sudah berumahtangga dan sedang berusaha mendapatkan anak. Bagi mereka yang tidak bercadang dan tidak mahu hamil pula, gangguan haid itu amatlan mencemaskan.
Tegasnya, tidak datang haid adalah tanda awal kehamilan. Walaupun demikian, ia mungkin juga satu petanda bagi beberapa jenis penyakit lain khususnya penyakit kanser pada anggota peranakan.
Wanita yang menyusukan anak atau sedang menghampiri waktu putus haid mungkin juga mengalami gangguan haid ini. Kedatangannya juga boleh dihentikan dengan sengaja untuk tujuan tertentu seperti mengerjakan ibadat haji atau umrah ataupun untuk tujuan rawatan sesuatu jenis penyakit.

Tanda Kehamilan

Kehamilan adalah punca utama kelambatan atau tidak datang haid bagi wanita berkahwin yang tidak mengamalkan sebarang kaedah mencegah hamil. Seelok-eloknya, berita ini disambut dengan rasa gembira khususnya bagi mereka yang sedang berusaha kuat untuk mendapatkan cahaya mata.
Berita seperti ini memang dinanti-nantikan oleh pasangan yang kurang subur atau mandul dan yang sedang menjalani rawatan untuk meningkatkan kesuburan mereka. Alangkah hampanya jika pada hujung bulan darah haidnya turun semula.
Tidak semua gangguan haid ini menandakan kehamilan kerana ada kalanya wanita yang terlalu ingin dan ghairah untuk hamil tertipu dengan kelambatan haid walaupun sebenarnya dia tidak hamil.
Ini adalah disebabkan oleh pengaruh psikologi atau kejiwaan kerana wanita itu terlalu sangat berkehendakkan kehamilan.
Keadaan itu mempunyai pengaruh pada sistem kawalan hormonnya sehingga haid yang sepatutnya datang pada bulan tersebut terhenti dengan sendiri.Kelambatan ini tidak menandakan kehamilan. Ia hanyalah menandakan satu gangguan dalam kawalan hormon yang berpunca daripada pengaruh jiwa.
Oleh yang demikian, apabila haid terlewat dalam masa dua minggu, dia perlulah menjalani ujian kehamilan seperti ujian air kencing ataupun ujian ultrasound. Tujuannya ialah untuk memastikan apakah kelambatan itu benar-benar berpunca daripada kehamilan, sebelum dia dapat berasa gembira dan yakin dengan kelewatan itu.
Wanita yang belum bersedia untuk hamil pula, sebaik-baiknya janganlah mengambil tindakan melulu untuk memaksa haid keluar apabila terlambat beberapa hari. Saya kerap kali menemui wanita yang datang ke klinik untuk mendapatkan nasihat setelah mereka memakan pucuk betik, putik nanas, jamu, ubat singse atau ubat moden dengan harapan usaha ini boleh memaksa haid turun semula setelah beberapa hari terlambat.
Ramai wanita salah faham dengan memikirkan jika haid terlambat boleh dipaksa keluar dengan mendapatkan suntikan doktor. Sebenarnya, jika kehamilan berlaku, segala usaha sama ada secara tradisi ataupun perubatan moden tidak akan berjaya memaksa haid keluar, malah usaha itu boleh menimbulkan bahaya besar terhadap kandungan jika kehamilan kekal.
Ada kemungkinan kandungan boleh menjadi cacat; cacat anggota, pancaindera atau kecerdasan otak. Usaha dan perubatan seperti ini patutlah dijauhi sama sekali.

Tanda Penyakit

Secara purata, seorang gadis mula datang haid dalam lingkungan umur 12 hingga 13 tahun. Ada juga yang mengalami masalah haid lambat datang. Satu pertanyaan yang selalu dikemukan, sehingga umur berapakah, perkara ini boleh dibiarkan dan bila nasihat dan pemeriksaan doktor diperlukan?
Menurut pandangan saya, seorang gadis yang berumur 18 tahun dan belum lagi datang haid perlu mendapat pemeriksaan dan ujian yang sewajarnya untuk menentukan punca masalah ini.
Mungkin ini perkara biasa yang digelar delayed menarche iaitu kelewatan datang haid yang normal. Apa yang membimbangkan kita, munkin hal ini satu tanda penyakit seperti ketumbuhan dalam otak, khususnya di kilang pituitari yang mengawal edaran hormon.
Hormon inilah yang bertanggungjawab terhadap pusingan haid. Mungkin juga kelewatan itu berpunca daripada masalah pada kilang ovari ataupun rahim yang tidak tumbuh dengan sempurna.
Masalah itu hanya boleh dipastikan setelah gadis itu menjalani beberapa jenis pemeriksaan termasuklah ujian darah dan kadangkala ujian yang memerlukan satu pembedahan kecil seperti laparoskopi.
Saya pernah menemui beberapa kes seperti ini di klinik saya. Gadis yang terbabit mengalami masalah kilang ovari atau rahimnya tidak tumbuh.
Kadangkala keadaan ini boleh juga disebabkan oleh ketiadaan saluran faraj. Kilang ovari atau rahim yang tidak tumbuh dengan sempurna tidak dapat diberi rawatan dengan memuaskan. Walaupun mereka boleh berkahwin dan mengadakan hubungan kelamin, biasanya tidak boleh hamil. Tegasnya dia akan terus mandul.
Ada juga gadis yang lambat datang haid disebabkan oleh kehilangan deria bau. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh sesuatu masalah yang timbul pada pusat bauan dalam otaknya dan seterusnya melibatkan atau mempengaruhi kawalan haid.
Selaput dara yang terus tertutup juga boleh menyebabkan seseorang gadis itu lambat datang haid kadang-kadang sehingga berusia 18 tahun. Gadis yang mengalami masalah ini, selalunya berasa sakit setiap kali datang haid dan ada kalanya pula dia terasa semacam ada satu ketumbuhan atau bonggol pada bahagian bawah perutnya.
Jika keadaan in berlarutan kemungkinan gadis berkenaan juga atau mengalami masalah tidak boleh buang air kecil kerana takungan darah dalam kemaluan telah menghimpit saluran perkencingan.
Gadis ini sebenarnya mengalami haid setiap bulan tetapi semua darah kotor berkumpul atau bertakung dalam saluran faraj oleh kerana selaput daranya tertutup. Doktor akan membuat satu pembedahan dan ini tidak memberi kesan buruk kepada kesuburan dan kejelitaannya. Hubungan kelamin juga tidak terjejas apabila dia berkahwin kelak.

Pusingan Haid Terganggu

Satu lagi masalah yang mungkin dialami oleh wanita ialah gangguan pada pusingan haidnya. Pusingan haid yang dulunya teratur, kini datang sekali dalam tiga bulan atau enam bulan atau mungkin tidak datang langsung selama setahun atau lebih.
Keadaan yang digelar secondary amenorrhea ini munkin disebabkan oleh kejadian tumpah darah ketika seseorang wanita itu bersalin atau ketika dia keguguran. Tumpah darah ini berlaku dengan amat banyaknya sehingga menimbulkan masalah kejutan atau shock dan ini boleh merosakkan kilang hormon pituitary. Akibatnya haid tidak berlaku dan ini boleh mengganggu kesuburan seseorang wanita.

Ketumbuhan Dalam Kilang Pituitari

Jika wanita tersebut tidak mengalami masalah tumpah darah, gangguan haid munkin disebabkan oleh ketumbuhan dalam kilang pituitary, khususnya ketumbuhan yang mengeluarkan sejenis hormon prolaktin. Biasanya, bagi wanita yang mengalami masalah seperti ini, buah dadanya akan mengeluarkan air susu. Air susu kadang-kadang keluar dengan sendirinya, dan dalam kebanyakan kes ia perlu dikeluarkan dengan memicit puting buah dadanya sama ada dilakukannya sendiri ataupun boleh doktor yang memeriksa.
Apabila diuji darahnya untuk menyukat hormon prolaktin, didapati hormon ini melambung tinggi. Dalam hal demikian, penting baginya menjalani pemeriksaan X-ray pada kilang pituitary dalam otaknya.
Sebahagian besar wanita yang saya rawati tidak mengalami sebarang ketumbuhan, hanya setakat kilang pituitarinya mengeluarkan hormon yang berlebihan menyebabkan haidnya tidak datang dan buah dadanya mengeluarkan susu.
Biasanya wanita ini mengalami masalah tidak subur atau mandul. Ketumbuhan di kilang ini juga boleh menekan urat saraf penglihatan menyebabkan daya penghilatannya terganggu. Wanita tersebut selalunya saya berikan ubat khusus iaitu ubat Bromocryptin sehingga pusingan haidnya pulih semula atau sehingga dia hamil. Jika ada ketumbuhan pada kilang pituitary, ia menjadi kecut dan pulih sediakala.

Penyakit Pada Sistem Hormon

Ketiadaan haid

juga boleh disebabkan oleh beberapa jenis penyakit yang ada kaitan dengan system hormon. Antara masalah atau penyakit ini, melibatkan kilang tiriod di leher atau kilang adrenal yang terletak berdekatan dengan buah pinggang. Penyakit ini boleh menimbulkan masalah tidak datang haid.

Pil Pencegah Hamil

Wanita yang menggunakan pil pencegah hamil kadangkala mengalami masalah ini, tetapi bilangan mereka adalah tersangat kecil. Keadaan ini boleh dipulihkan apabila pengambilan pil kontraseptif dihentikan dan seterusnya wanita tersebut diberi rawatan ubat penyubur.

Terlalu Gemuk

Wanita terlalu gemuk juga mengalami masalah kelambatan atau ketiadaan haid. Kegemukan akan mengganggu pertimbangan hormon dan seterusnya mengganggu kawalan haid. Saya ingin menasihatkan wanita yang gemuk supaya mengurangkan berat badan dan bagi mereka yang belum menjadi gemuk pula, jagalah timbang berat supaya tidak mengalami masalah ini.

Masalah Kejiwaan

Wanita yang mengalami masalah kejiwaan seperti kesedihan, penyakit jiwa seperti psikosis atau wanita yang sedang dalam rawatan ubat tenang fikiran, boleh juga mengalami masalah kelambatan atau tidak datang haid.

Tekanan fizikal

Bukan sahaja tekanan mental boleh mengganggu kedatangan haid, malah tekanan fizikal seperti seseorang wanita yang bekerja kuat, berpindah tempat kerja, berpindah rumah atau terpaksa bertungkus lumus bekerja dengan menggunakan tenaga fizikalnya boleh mengalami masalah kelambatan atau tidak datang haid.

Rawatan Penyakit Kanser

Wanita yang menjalani rawatan secara pancaran radiation atau radioterapi oleh sebab penyakit kanser pangkal rahim, juga akan mengalami masalah tidak datang haid. Wanita ini mengalami apa yang digelar keadaan putus haid lebih awal atau premature menopause.
Ini disebabkan oleh bahang radiation yang membunuh sel dan tisu pada kilang ovari selain daripada membunuh sel dan tisu kanser pada pangkal rahim.

Pembedahan Hysterectomy

Wanita yang telah menjalani pembedahan hysterectomy untuk membuang rahimnya, juga tidak akan mengalami keluaran haid. Dalam hal demikian, darah haid tidak terjadi langsung. Ini tidak membahayakan seperti anggapan kebanyakan wanita yang kononnya darah kotor bertakung dalam badan serta menimbulkan pelbagai jenis penyakit di kemudian hari.

Wanita Yang Menyusukan Anak

Penyusuan ibu juga boleh menyebabkan seseorang wanita tidak datang haid. Ini disebabkan oleh paras hormon prolaktin yang bertanggungjawab bagi pengeluaran susu meningkat dan seterusnya mengganggu kawalan hormon yang menjaga pusingan haid.
Tempoh waktu bagi wanita yang tidak datang haid oleh sebab penyusuan, bergantung kepada beberapa factor. Ada sesetengahnya langusng tidak datang haid selama dua tahun sepanjang masa dia menyusukan anaknya. Ada juga yang tidak datang haid tiga bulan sahaja, sesetengahnya datang haid tetapi tidak tentu masanya dan ada pula yang haidnya datang setiap bulan.
Akhir kata, setiap wanita yang mengalami satu kelainan dalam pusingan haidnya, patutlah segera mendapatkan nasihat serta pemeriksaan doktor pakar sebelum mengambil tindakan bersendirian. Jika wanita ini mengandung dan mengambil tindakan melulu, ini mungkin membahayakan kandungannya. Pemeriksaan juga penting untuk mengesan penyakit yang saya nyatakan tadi. Semoga panduan ini memberi manfaat kepada pembaca budiman.

haid
Sumber: http://www.hamidarshat.com/content/view/131/138/
Kupasan selanjutnya dicadangkan anda dapat membaca artikel2 di bawah yang berkaitan dengan senggugut dan haid.

Sebenarnya masalah haid tidak datang atau keadaan haid tidak teratur berlaku dikalangan wanita di seluruh dunia dan penyelesaiannya secara teknikalnya amat sedikit ditemui. Mengikut buku yang pernah saya baca sewaktu di Mesir yang bertajuk “Musykilah Fil Haid” seingat saya dari Dr.Mohd.Ali Badawy yang merupakan salah seorang anggota Kesatuan Pakar Perubatan Sakit Puan Di Mesir mengatakan punca utama terjadi pada wanita dari segi pemakanan dan juga keadaan jiwa seseorang wanita itu yang berjiwa lembut dan mudah terusik atau gangguan pada jiwa dan sekaligus disalurkan kepada horman, jiwa yang berkaitan dengan minda atau akal wanita ini banyak perkara difikirkan dan banyak perkara keinginan, banyak perkara yang perlu diselesaikan dengan segera.

Apabila hal2 sedemikian tidak ‘dicantas’ dengan cepat keadaan jiwanya tidak tenteram. Perilaku mula berubah kepada tahap superemosianal.

Permasalahan ini, dia mengingatkan kepada lelaki itu sendiri yang mesti memainkan peranan dengan baik dan romantik, jangan mengusik jiwanya, percepatkan menyelesaikan segala permasalahan dan perbincangan dengan baik yang penting lelaki tidak cepat panas baran. Lelaki harus rilek dan tenang serta berfikir dengan kehendak si wanita dengan layanan yang baik.
Di Dalam buku tersebut dia cuba mendedahkan rahsia yang perlu diamalkan oleh wanita dan lelaki agar rumahtangganya sentiasa dalam keadaan tenang dan hening agar ‘tenaga mutmainnah’ menyusuk masuk.
Beliau berkata : Amalan2 dalam agama mestilah teguh antara kedua2nya di pihak isteri dan suami dan yang paling penting si suami mestilah banyak membantu dan mengambil hati terhadap isterinya..dalam istilah rumahtangga tidak boleh menggunakan istilah ‘hamba’ atau kuli..tapi kalau si suami mampu dia boleh menggunakan maid atau pembantu rumah bagi meringankan bebanan isteri dalam rumahtangga.
Apa yang sempat saya catatkan cuba dikongsikan bersama di sini, memandangkan tajuk apabila haid tidak datang antara posting yang sering dilihat oleh kaum wanita.
Amalan selain pemakanan seimbang..amalan kerohanian tidak boleh dilupakan..katanya.
Amalan yang praktikal bolah dekatkan diri kepada Allah SWT atau dengan kata lain Cari Ketenangan dengan mengamalkan selawat kepada Rasulullah SAW dan juga berzikir.
Apabila bangun dari tidur selepas solat subuh dan asar lakukan amalan seperti di bawah sekurang2nya 10 minit :
1-Duduk di atas kerusi tanpa bersandar
2-Kemudian rehatkan akal seketika (buangkan semua/kosongkan seketika)
3-Pejamkan mata dan bacakan 4 ayat sebagai pembukaan, iaitu Bacakan Fatihah untuk diri sendiri 1 x, Bismillahi Rahmani Rahim 3x  Bacakan Selawat 3 kali. Baca dengan tenang seikhlasnya.
4-Letakkan kedua tangan diperut tanpa sentuh
5-Pejamkan mata dan tarik nafas perlahan-lahan sedalam yang mungkin
6-Tahan nafas tersebut di perut sambil bacakan ayat dari surah Al-Imran ayat 5 hingga 6.
7-Kemudian hembuskan nafas tersebut perlahan2 disamping niatkan “Ya Allah dengan ZatMu Yang Maha Lembut Perlicinkan Perjalanan Haid Pada DiriKu Permudahkanlah’ Ini sambil berimagine di minda kita membuang/memusnahkan tenaga2 kotor atau warna yang hitam.
8-Ulangan tarik nafas,menahan dan membaca ayat tersebut lagi..langkah ini di ulangan selama 1o-20minit.
Selalulah dengan amalan ni selama beberapa hari tanpa putus asa,Insyallah segalanya berjalan lancar.
Amalan praktikal sebegini juga ada diterangkan dalam Ebook Rahsia Pemusnah SAKA yang paling senang untuk membina perlindungan kepada diri wanita terutamanya.
Kami doakan anda agar dimudahkan perjalanan haid.








kredit

Terima Kasih kerana sudi terjah Belog Cik AMAL alang2 TEKAN LIKE sekali tak pun kumen lah sikit.. ♥♥Love U All Readers♥♥flying kiss untuk korang♥♥

No comments:

HAK MILIK TERCIPTA PELIHARA OLEH Cik Amal @ Copyright